Thursday, December 6, 2012

Contoh ayat bagi perkataan hampir sama bunyi

Contoh ayat bagi perkataan hampir sama bunyi

Jawapan: Perkataan hampir sama bunyi



1. hemat - Pada hemat saya, mesyuarat hari ini amat perlu ditangguhkan dahulu.
....hemah - Pelajar itu memiliki hemah yang terpuji.



2. kerangka - Kerangka bangunan itu hampir siap dibina dengan menggunakan kayu.
....rangka - Mereka menemui rangka manusia di tepi sungai itu.



3. perap - "Jangan perap daging ayam itu terlalu lama", kata ibu kepadaku.
....perah - "Tolong perah kain basah itu sebelum dijemur", kata emak kepada kakak.



4. melarik - Saya melarik buluh itu dengan pisau supaya licin dan kemas.
....melirik - Gadis itu melirik sambil tersenyum kepada Encik Santosh.



5. mentaksir - Pegawai itu mentaksir pendapatannya pada setiap tahun.
....mentafsir - Saya cuba mentafsir kata-kata yang diucapkan kepada saya tadi.



6. menjurus - Soalan itu menjurus pada soalan bentuk pilihan.
....menjirus - Hayati menjirus badannya dengan air untuk menghilangkan panas.



7. mengubah - Lin Cheng Heng mengubah meja itu ke belakang kelas.
....menggubah - Ajila Ajijul menggubah lagu untuk ibunya yang tersayang.



8. menghembuskan - Yow Weng Fei menghembuskan nafas terakhirnya petang semalam.
....menghemburkan - Pemuda itu menghemburkan kata-kata kesat kepada pemandu bas.



9. menatap - Hamreesh menatap muka gurunya yang bengis itu.
....meratap - Jibon meratap dengan sedih apabila bapanya meninggal dunia.



10. meraung - Hak Le meraung kesakitan apabila kakinya tersepak batu.
......melaung - Mathew melaung dengan kuat sambil memanggil nama Jibon.



11. menyumpah - Peter menyumpah pelajar yang suka berludah di atas lantai itu.
......menyampah - Cikgu menyampah melihat pelajar yang suka berbual di dalam kelas.



12. rencam - Dia melakukan tugas-tugas rencam di pejabat pada setiap hari.
......rencah - Suka duka merupakan rencah kehidupan manusia di muka bumi ini.



13. diharap - Santoshlah yang diharap mewakili sekolah dalam acara badminton.
......digarap - Puisi itu digarap dengan penuh teliti dan kreatif.



14. laksana - Mukanya berseri-seri laksana bunga mawar yang sedang berkembang.
......laksamana - Hang Tuah menjadi laksamana semasa pemerintahan Sultan Muzaffar.




15. sering - Peter sering ponteng sekolah kerana berkunjung ke kafe siber.
......seiring - Tong Mang Kok berlari seiring dengan pelumba dari Johor itu.



16. menghidap - Yow Weng Fei menghidap selesema H1N1 sejak minggu lepas.
......menghadap - Dia menghadap ke tingkap sambil memerhatikan burung berkicau.



17. secocok - Pasangan pengantin baru itu sungguh secocok.
......secucuk - Santosh makan secucuk sate yang dibelinya di kedai Pak Mat.



18. sasaran - Tendangan penalti pemain Mancister itu menepati sasaran.
......sesaran - Proses mampatan akan menghasilkan sesaran pada lapisan bumi.



19. tergolong - Malaysia tergolong dalam kumpulan negara sedang membangun.
......tergulung - Semasa saya tiba, tikar getah itu masih tergulung dengan rapi.



20. sepadan - Pasangan kekasih di atas kerusi itu amat sepadan.
......sempadan - Sungai Muar menjadi sempadan di antara Johor dengan Melaka.



21. persatuan - "Kamu mesti menghadiri aktiviti persatuan pada petang ini", katanya.
......penyatuan - Penyatuan masyarakat hanya akan terbentuk jika ada sikap menghormati.



22. menembuk - Cik Mat menembuk kertas itu dengan menggunakan jarum.
......menembok - Pihak sekolah akan menembok kawasan tepi sekolah dengan tembok batu.



23. sembang - "Buat kerja kamu dan jangan sembang sahaja", kata Encik Kulasingam.
......sumbang - "Suara nyanyian kamu tadi amat sumbang sekali", kata pengadil itu.



24. menyeluruh - Kemajuan di kampung ini akan dilaksanakan secara menyeluruh.
......menyeloroh - Sikapnya yang suka menyeloroh membuat kami tidak kering gusi.



25. belot - "Kami telah menangkap mereka yang belot itu", kata ketua tentera itu.
......belut - Pak Kasim berjaya menangkap tiga ekor belut di tepi sungai tersebut.



26. mengindahkan - Pihak kerajaan telah mengindahkan kawasan bandar bagi menarik
pelancong.
......mengendahkan - Yow Meng Thoi tidak mengendahkan nasihat yang diberi oleh ibunya.



27. menyerap - Tumbuh-tumbuhan hijau akan menyerap gas Karbon Dioksida.
......mencerap - Pengetua sedang mencerap pelajar di kelas 5 Sains 2.



28. mengabaikan - Kita tidak boleh mengabaikan pelajaran kita.
......mengaibkan - Perbuatan buruknya itu telah mengaibkan keluarganya sendiri.



29. tapak - Tapak bangunan lama itu akan dimajukan sebagai pusat pelancongan.
......tepak - Encik Gundu memberi tiga biji tepak berisi sireh kepada tetamunya.



30. menyuraikan - Encik Chew telah menyuraikan pelajar yang berkumpul di kantin.
......menyuarakan - Dia menyuarakan kekesalannya kerana tidak dapat hadir semalam.



31. bertitah - Sultan Maarof sedang bertitah di atas singgahsana.
......bertatah - Rantai leher yang dipakainya bertatah berlian dan permata.



32. gumpal - Kami menemui tiga gumpal wang kertas lama di dalam gua itu.
......gempal - Badannya kelihatan agak gempal dan kulitnya keputih-putihan.



33. mencolek - Adik mencolek sedikit kek itu dengan jarinya.
......menculik - Penjahat itu menculik anak Encik Tong untuk mendapatkan tebusan.



34. memerah - Hamreesh sedang memerah susu kambing di belakang rumahnya.
......memeras - "Jangan cuba untuk memeras pelajar yang lemah", kata Encik Chew.



35. melencong - Pagi itu dia tidak ke sekolah tetapi melencong ke tempat lain.
......melancong - Pada cuti penggal pertama dia melancong ke Bangkok.



36. bertelur - Penyu itu sedang bertelur di tepi pantai.
......bertelor - Pemuda itu bertutur dengan bertelor Kelantan.



37. berkenan - Ibu amat berkenan dengan baju yang bercorak batik itu.
......berkenaan - Ceramah itu adalah berkenaan dengan penyalahgunaan dadah.



38. menempa - Ahli sukan itu telah menempa nama dalam bidang karate.
......menempah - Puan Chong menempah makanan daripada pekerja di kantin itu.



39. menyurut - Air banjir di kampung itu semakin menyurut sejak semalam.
......menyorot - Pada waktu lapang, dia suka menyorot sajak-sajak di buku lama itu.



40. melagakan - Dialah yang telah melagakan Ah Chong dengan Ayapan sehingga bergaduh.
......melegakan - Air kelapa itu dapat melegakan tekak yang kering.



41. melayukan - Cuaca panas itu melayukan sayur-sayuran yang ditanamnya.
......melayurkan - Ibu melayurkan ulam-ulaman itu ke dalam air yang sedang mendidih.



42. mengibas - Chong Jun Nam mengibas habuk di badannya dengan menggunakan tuala.
......mengimbas - Hilmi mengimbas kembali kenangan manisnya ketika bersama Hayati.



43. pedalaman - Kawasan pedalaman di Sabah akan dilengkapi dengan jalan raya.
......pendalaman - Kerja pendalaman sungai itu menelan belanja yang amat tinggi.



44. merimaskan - Cuaca yang panas ini amat merimaskan para pelajar.
......meramaskan - beliau meramaskan limau itu kedalam air lalu digunakan sebagai air mandian.




45. benteng - Pasukan Chalsi membina benteng untuk menyekat kemaraan penyerang pasukan Mancister.
......beting - Beting di tepi pantai itu terhakis apabila dilanda ombak besar.



46. menuntun - Ibu menuntun tangan adik ketika melintas jalan.
......menonton - Setiap malam, dia akan menonton rancangan berita di televisyen.



47. pujuk - Budak yang sedang menangis itu telah kami pujuk.
......pojok - Di pojok bilik itu terdapat sebuah kerusi dan sebuah meja lama.



48. beradat - Hidup kita mestilah beradat agar dihormati oleh orang lain.
......beradab - Hong Wei seorang pelajar yang tidak beradab dan sombong.



49. hempas - Gelas itu saya hempas ke lantai sehingga pecah.
......hampas - Semua hampas kelapa itu boleh dijadikan makanan ternakan.



50. lengan - Lengan Foo Siow Wooi luka kerana terkena kaca.
......lengang - Pada Hari raya, jalan raya di bandar raya itu amat lengang.



51. tabik - Tentera itu memberi tabik ketika diperiksa oleh ketuanya.
......tabib - Dia bertemu tabib untuk mengubati penyakitnya.



52. resmi - Sudah menjadi resmi manusia, suka berbelanja apabila banyak duit.
......rasmi - Majlis hari ini ialah majlis yang rasmi dan kita mesti berpakaian kemas.



53. padan - Baju yang dipakainya itu amat padan dengan bentuk tubuhnya.
......pandan - Mereka menggunakan pandan supaya makanan itu bertambah harum.

3 comments:

  1. boleh saya tao .. ape nme lagu yg dimainkan dlm blog ini. sye cri lme lagu ini.. sedih lagunya.. boleh bgi tao tjuk lgu die x ????

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,cikgu.. best sangat blog cikgu..sambil baca, sambil dengar lagu..

    ReplyDelete