Monday, November 26, 2012

Pemahaman Jenis Cerita


Pemahaman : Pemahaman Jenis Cerita

Soalan

A.
Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.
 
 
          
              Namaku Shahila. Kawan-kawan panggilku Ila sahaja. Walaupun usiaku sudah 12 tahun namun badanku kecil dan kurus. Kawan-kawan selalu kata aku macam budak darjah dua. Aku tidak pernah ambil hati dengan kata-kata itu kerana memang benar bentuk badanku kecil. Kata ibu, semasa aku dilahirkan, aku seperti bayi normal yang lain malah badanku montel sekali. Sesiapa sahaja yang datang melihatku pada ketika itu pasti akan mencubit pipiku yang montel. Namun, sejak berusia setahun badanku semakin hari semakin susut dan sehinggalah aku disahkan menghidap penyakit thalasemia. Ibu dan ayahku terpaksa reda dengan keadaan yang berlaku. 

              Keadaan diri aku tidak segagah kawan-kawanku yang lain. Badanku lemah dan aku mudah penat. Menurut doktor, badanku tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang normal. Hemoglobin ialah bahan yang menghasilkan warna merah dalam sel darah. Wajah aku sentiasa kelihatan pucat dan lesu. Aku mudah sesak nafas dan aku tidak terdaya untuk melakukan kerja-kerja berat. Apabila melihat kawan-kawan bermain di padang, ada hati juga aku hendak menyertai mereka tetapi apakan daya, aku tidak bertenaga seperti mereka. Aku hanya mampu memandang mereka dari luar padang sahaja. 

              Sebaik sahaja Cikgu Raihan habis mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu, loceng rehat pun berbunyi. Kawan-kawan aku mula bergegas untuk ke kantin maklumlah mereka masih belum bersarapan lagi. Aku tidak tergesa-gesa untuk ke kantin kerana setiap hari, ibu akan membekalkan makanan kepadaku. Aku tidak perlulah bergegas ke kantin untuk membeli makanan. Aku memang bertuah berada di Kelas 6 Gemilang kerana kawan-kawan sering membantu. Dalam keadaan kesihatan aku yang sebegini, ramai yang menghulurkan bantuan. Bukan sahaja kawan-kawan sekelas malah guru-guru di sekolah sering bertanya khabar tentang kesihatan aku. 

              Aku tidak pernah menjadikan alasan penyakitku ini sebagai penyebab untuk tidak pergi ke sekolah. Malah aku gemar pergi ke sekolah kerana di sekolah ramai kawan yang akan membantuku terutama dalam bidang pelajaran. Walaupun aku berpenyakit, aku bukanlah pelajar tercorot dalam kelasku. Aku sentiasa menjadi pelajar contoh dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik. Kata Angela, aku anak emasCikgu Tan dan Cikgu Raihan. Mengingatkan kata-kata Angela, aku akan tersenyum sendirian. Walaupun Angela suka mengusik, namun aku menganggap kata-katanya sebagai perangsang untuk aku terus maju dalam pelajaran dan mengejar cita-citaku untuk menjadi doktor.

              Walau apa-apapun dugaan yang datang, aku harus menempuhnya dengan tabah kerana penyakit yang aku hidapi ini bukanlahku pinta. Aku sentiasa mengingatkan diriku agar jangan menyalahkan takdir kerana aku yakin Allah sayang akan diriku sebab itu aku diberi ujian sebegini dalam usia yang amat muda. Aku tidak mahu menyusahkan orang lain dan tidak mahu orang bersimpati dengan takdir yang menimpa diriku. Aku harus berdikari. Aku juga berjanji untuk tidak mengecewakan ibu dan ayah serta kawan-kawan di sekolah yang ingin melihat aku sihat dan berjaya dalam pelajaran.
   



1 Mengapakah badan Shahila kecil dan kurus? 

 
A
Shahila baru berusia 12 tahun.
 
B
Shahila menghidap penyakit thalasemia.
  C Shahila kelihatan seperti budak darjah dua.
 
D
Shahila memang begitu sejak dia dilahirkan.


2 Shahila tidak tergesa-gesa pergi ke kantin pada waktu rehat kerana______

 
A
dia tidak berselera.
 
B
dia mahu membuat kerja sekolahnya.

C
dia membawa bekalan makanannya sendiri.
 
D
dia malu hendak berjumpa dengan kawan-kawannya.



3 Mengapakah Shahila menganggap bahawa dirinya bertuah?

 
A
Dia menjadi anak emas guru-gurunya.
 
B
Dia menjadi pelajar contoh di sekolahnya.
 
C
Dia sering mendapat perhatian guru dan rakan-rakannya.
 
D
Dia sering mendapat kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaannya.


4 Yang berikut ialah penyataan tentang diri Shahila kecuali____________

 
A
Shahila mudah berputus asa.
 
B
Shahila seorang yang rajin belajar.
 
C
Shahila seorang yang bercita-cita tinggi.
 
D
Tiada satu pun yang di atas.
  



5 Rangkai kata ada hati dalam petikan bermaksud__________________


 
A
mempunyai kemahiran.
 
B
mempunyai keinginan.
 
C
mempunyai kemampuan.
 
D
mempunyai kesungguhan.























Sumber : http://www.tutor.com.my


















~SELAMAT MENCUBA MENJAWAB~


























1 comment:

  1. Latihan yang baik untuk murid-murid. Blog saudari juga amat cantik dan menarik. Tahniah cikgu :)

    ReplyDelete